Thursday, March 16, 2006

fta dengan as, terpeliharakah kepentingan negara?

Permulaan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara Malaysia dengan AS awal Mac lalu dilihat sebagai sesuatu yang amat positif oleh kerajaan, khasnya Kementerian Perdangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Paling jelas, ia dilihat sebagai bukti keyakinan syarikat asing, terutamanya AS, terhadap suasana pelaburan dan politik negara ini. Secara tersirat, ia membuktikan kejayaan kerajaan mewujudkan suasana positif itu, sekali gus merupakan petunjuk bagi ketrampilan dan kebolehan pemimpinnya.

Timbalan Menteri MITI, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah, merujuk langsung kepada 'kejayaan' itu apabila beliau berkata, peningkatan pelaburan AS kepada US$1.387 bilion pada 2005 daripada US$278.6 juta pada tahun sebelumnya (peningkatan sebanyak 400 peratus), membayangkan peningkatan keyakinan syarikat AS terhadap suasana pelaburan di negara ini.

Beliau, yang bercakap dalam satu seminar pelaburan di Kuala Lumpur akhir Februari lepas, seterusnya menjemput syarikat AS supaya 'mengepalai serta melabur' dalam bidang pertumbuhan baru yang bakal digariskan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RM 9) dan Rangka Dasar Industri Ketiga (IMP 3).

Namun rekod amalan dagang AS, sokongan luar biasa Senat dan Kongres negara itu kepada perkembangan ini dan tahap 'kepekaan' pemimpin kerajaan terhadap perkembangan yang boleh mengancam negara, khasnya dalam hal-hal ekonomi, memaksa kita meragui kesan perjanjian FTA AS-Malaysia ini.

Kes DPW dan CNOOC

Amalan dagang AS tidak menunjukkan yang ia benar-benar bebas dan bersedia bermain di padang yang sama rata dengan orang lain. Pembatalan kontrak penyelenggaran pelabuhan AS oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Dubai, Dubai Ports World (DPW), adalah contoh yang jelas.

Atas alasan 'keselamatan negara', Jawatankuasa Peruntukan Wang Negara Kongres AS dengan sokongan pentadbiran George W Bush, telah membatalkan kontrak DPW mengurus dan menyelenggara enam buah pelabuhan di negara itu. Kontrak ini dahulunya dikendalikan oleh sebuah syarikat Inggeris, Peninsular and Oriental Steam Navigation Company (P&O), sebelum ia dibeli oleh DPW.

Dalam suasana takrif 'keselamatan negara' boleh mengambil pelbagai bentuk dan rupa di bawah pentadbiran Bush, hal yang sama boleh berlaku kepada sesiapa saja dan terhadap mana-mana syarikat pun.

Selain itu, tindakan Kongres AS menyekat percubaan firma China, China National Offshore Oil Company (CNOOC) mengambil alih syarikat minyak negara itu, Unocal Corporation, dengan bayaran US$18.5 bilion, juga atas alasan 'keselamatan negara' bukanlah perbuatan orang yang benar-benar komited kepada prinsip perdagangan bebas.

Ini tidak lagi diambil kira subsidi yang diberikan kerajaan AS kepada banyak industri tempatannya atas pelbagai alasan dan nama. Pada tahun lepas sahaja, industri pertanian negara itu menerima subsidi sebanyak US$21.4 bilion. Subsidi turut diberikan kepada sektor pembuatan atas nama sokongan penyelidikan.

Dari sudut lain, sokongan luar biasa Senat dan Kongres negara itu kepada perundingan perjanjian FTA dengan Malaysia seolah-olah membayangkan adanya 'niat tersembunyi' negara itu terhadap negara ini.

Sokongan hangat Kongres dan Senat

Bernama 9 Mac misalnya melaporkan, 18 anggota Kongres dan Senat bergilir-gilir, dengan 'penuh bersemangat', bercakap menyokong supaya diluluskan rundingan AS-Malaysia itu.

Wakil California, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Cara dan Kaedah, Bill Thomas, merakamkan rasa terkejutnya kenapa perkara itu (FTA AS-Malaysia) tidak berlaku lebih awal, menurut laporan itu.

"Kami akan melakukan semua yang termampu bagi meluluskannya", kata beliau.

"Ini adalah jumlah (sokongan awal Kongres) paling besar dalam sejarah USTR", kata Wakil Dagang AS, Rob Portman, selepas majlis pelancaran perundingan FTA dengan Menteri MITI, Datuk Seri Rafidah Aziz, di Washington.

Jawapan kepada fenomena sokongan luar biasa itu barangkali tergambar dalam ucapan wakil-wakil ini ketika menyokong usul itu.

Senator Kit Bond dari Missouri misalnya berkata, "FTA dengan Malaysia akan memperkukuh kepentingan strategik AS di rantau di mana China sedang memperluas pengaruhnya, sementara negara-negara Asia Tenggara adalah negara garis depan dalam Fron Kedua Perang Menentang Keganasan".

Wakil New York pula, Gregory Meeks berkata, "Malaysia adalah 'rakan yang serasi' di rantau yang bergolak di mana AS perlu mempastikan ia mempunyai rakan".

"FTA ini adalah dengan rakan yang selama ini menyokong kita sewaktu diperlukan dan bersimpati dengan kita", katanya.

Wakil Montana, Max Baucus, yang juga anggota Jawatankuasa Kewangan senat, lebih jelas dalam niat dan tujuan AS. Beliau berkata, FTA dengan Malaysia mempunyai potensi memberi kesan positif kepada ekonomi AS dan mencipta peluang pekerjaan untuk rakyatnya.

"Ia (FTA) akan memperkukuh daya saing AS dengan mencipta peluang bagi pengeksport AS menjual barangan dan khidmat mereka di sebuah pasaran utama dunia", kata beliau.

Dalam suasana dan rekod dagang AS yang sedemikian, kepentingan negara hanya akan terlindung sekiranya rakyat, khasnya pemimpin, peka, telus dan komited kepada kepentingan negara, bukannya hanyut dengan janji manis syarikat AS atau tunduk kepada tekanan.

AS adalah destinasi eksport terbesar negara dengan nilai eksport sebanyak RM105 bilion atau 19.7 peratus eksport Malaysia pada 2005. Eksport utama negara ini ke AS merangkumi peralatan pejabat, barangan elektrik, alat dan alat ganti, peralatan telekomunikasi dan rakaman suara serta perabut.

Sementara itu, dari segi import, AS merupakan sumber import kedua terbesar negara dengan nilai RM55.9 bilion pada tahun yang sama. Import dari AS terdiri daripada barangan elektrik, alat dan alat ganti, peralatan pejabat, kelengkapan saintifik, mesin penjana elektrik dan peralatan pengangkutan.

Rekod buruk kerajaan

Malang, sehingga kini rekod di pihak pemimpin negara tidak memberangsangkan. Kejadian penjualan aset negara kepada kepentingan asing, walaupun didedahkan oleh pihak pembangkang, tidak mendapat perhatian, apatah lagi tindakan.

Paling akhir, penjualan Fomema dan Pantai Medivest kepada syarikat Singapura, Parkway Holdings. Rata-rata, wakil kerajaan di parlimen tidak sedar bahawa penjualan itu berlaku. Mereka hanya 'terjaga' daripada lena apabila TV3 menyorot isu tersebut, walaupun pihak pembangkang telah menghebahkannya lama sebelum itu.

Kini terdengar pula ura-ura usaha untuk membeli semula Fomema dan Pantai Medivest daripada Parkway Holdings pada harga RM400 juta. Jika ini benar, maka syarikat Singapura itu ternyata mendapat untung besar atas angin akibat 'kealpaan' pemimpin. Ia membeli syarikat Malaysia itu pada harga RM312 juta.

Soalnya, apakah jaminan yang kita ada, sama ada di pihak kerajaan mau pun rakyat, bahawa FTA dengan AS ini tidak akan berakhir dengan kesudahan yang sama dan kita pula tidak menjadi Pak Kadok, baju koyak kampung tergadai.

---------------------
Artikel ini pertama kali diterbitkan oleh akhbar Siasah, 17-30 Mac 2006